Monday 5 April 2010

Sikap Kerajaan Siam terhadap Tuntutan dan Pergolakan di Selatan Siam

Ketegangan yang semakin meningkat di keempat-empat wilayah di Selatan Siam selepas penahanan Tuan Guru Haji Sulung serta kritikan-kritikan tajam dari Tanah Melayu berhubung dengan dasar kerajaan Siam terhadap orang-orang Melayu itu telah menimbulkan keresahan kepada kerajaan Aphaiwong dan memaksanya bertindak bagi mengawal keadaan itu.Kerajaan Siam telah menghantar Phraaya Ramajbhakdi, Ketua pengarah Kementerian Dalam Negeri, untuk membuat penyiasatan. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, Menteri Dalam Negeri menafikan bahawa kekacauan besar telah berlaku di keempat-empat wilayah di selatan, seperti yang didakwa oleh akhbar-akhbar dan pertubuhan politik Semenanjung Tanah Melayu (Utusan Melayu 31 Ogos 1948).


Beliau mengakui bahawa beberapa kekacauan kecil telah berlaku di Selatan Siam. Bagaimanapun,tegasnya lagi, kekacauan itu dicetuskan oleh puak minoriti untuk kepentingan diri sendiri. Beliau menyalahkan akhbar-akhbar Tanah Melayu kerana secara sengaja membesar besarkan keadaan di Selatan Siam.


Kenyataan Menteri Dalam Negeri itu telah dibantah oleh Tengku Abdul Kadir Petra, salah seorang ahli Jawatankuasa GEMPAR. Dalam sepucuk kawat kepada Perdana Menteri Khuang Aphaiwong, Tengku Abdul Kadir Petra menegaskan bahawa: Kenyataan ini tidak benar dan menjejaskan maruah dan integriti kami. Kami mencabar pihak tuan mengemukakan bukti kepada dunia dengan mengadakan pungutan suara dengan dipengerusikan oleh pegawai-pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tetapi kehadiran pegawai tentera dan awam kamu di kawasan yang hanya akan menakutkan penduduk yang tertindih itu.


Kenyataan Phraaya Ramajbhakdi itu juga telah dicabar oleh Senator Nai Banchong Sricaroon atau Haji Wahab dalam perbahasan di parlimen di Bangkok pada 5 Mac 1948. Inilah kali pertamanya isu Patani dibangkit dan dibahaskan di sidang parlimen. Senator Banchong menyalahkan pegawai-pegawai tadbir Siam di atas kekacauan di wilayah selatan (Liberty, 5 Mac 1948). Para pegawai tersebut bersikap keras dan menindas penduduk-penduduk tempatan sehingga mencetuskan perasaan tidak puas hati orang-orang Melayu terhadap kerajaan. Beliau menganggap pegawai-pegawai tersebut "tidak lebih daripada pengganas". Penduduk-penduduk tempatan telah ditindas dan diperas, harta-benda mereka dirampas secara paksa, rumah mereka dibakar hangus; manakala bahasa, adat-resam dan agama mereka dicabuli. Tidak ada seorang pun daripada mereka berani untuk mengadukan kejadian ini kepada pihak kerajaan kerana bimbang pegawai-pegawai berkenaan membalas dendam.


Beliau menambah: Saya tahu bahawa saya dikehendaki membuktikan dakwaan saya itu tetapi sebagai seorang Muslim dan anggota Jawatankuasa Majlis Islam Pusat, menjadi tanggungjawab saya untuk memberitahu Kementerian dalam Negeri tentang kedudukan sebenar bagi membolehkan mencari jalan untuk mengatasi keadaan itu. Bila saya diberitahu tentang keadaan di selatan, adalah sukar bagi saya untuk mempercayainya. Kementerian Dalam Negeri tidak mengambil apa-apa tindakan untuk mengatasi bila saya mengemukakan kepadanya. Sesetengah daripada mereka yang memberi laporan itu kepada saya telah dibunuh dalam keadaan yang penuh misteri, sesetengahnya pula melarikan diri ke Tanah Melayu dan menyebarkan berita bahawa penduduk-penduduk di Patani telah diberi layanan buruk oleh kerajaan Siam. Ini bukanlah persoalan gerakan pemisahan atau rusuhan. Ini adalah kes ketidakadilan di pihak pegawai-pegawai kerajaan.


Memang benar sesuatu mestilah dibuat bagi mengatasi masalah itu, tetapi itu tidak memadai. Ekoran daripada dakwaan ini, Nai Banchong Sricharoon mendesak kerajaan supaya mengambil langkah-langkah segera dan positif bagi mengatasi masalah yang dikemukakan itu. Beliau juga meminta kerajaan mengisi jawatan Chularajamontri yang telah dikosongkan oleh Chaem Promyong. Khuang Aphaiwong, dalam jawapannya, mengakui bahawa kekacauan sememangnya wujud di wilayah-wilayah selatan Siam, Beliau memberi jaminan bahawa sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk oleh kerajaan bagi mengkaji punca kekacauan di wilayah tersebut. Menjawab dakwaan Nai Banchong tentang kezaliman pada pegawai kerajaan, beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu membuat penyiasatan rapi sebelum sebarang tindakan diambil. Selain itu, beliau berjanji akan memperkenalkan reformasi di keempat-empat wilayah tersebut bagi mengatasi perasaan tidak puas hati penduduk-penduduk Melayu. Beliau memberi jaminan bahawa kebebasan beragama akan dihormati dan bahasa Melayu akan dibenarkan untuk diajar di sekolah-sekolah kerajaan. Beliau juga berjanji akan menukar pegawai-pegawi yang mengambil rasuah, di samping melantik seorang Muslim yang dihormati sebagai Chularajamontri bagi menasihati kerajaan dalam hal-ehwal agama Islam.


Ekoran daripada itu, Khuang Aphaiwong telah melantik Seni Pamoj, Menteri Pelajaran, untuk mengetuai Jawatankuasa Penyiasat bagi menyiasat keadaan di Selatan Siam. Beliau juga bercadang untuk mengadakan rundingan dengan Tengku Mahmood Mahyideen jika masa mengizinkan. GEMPAR, dalam ulasannya mengenai pembentukan Jawatankuasa Penyiasat, meragui sama ada jawatankuasa itu akan dapat memperoleh fakta-fakta sebenar daripada penduduk-penduduk tempatan mengenai keadaan di Patani (Singapore Free Press, 10 Mac 1948). Pengalaman yang lalu telah menunjukkan bahawa sebelum ketibaan satu-satu Jawatankuasa penyiasat seumpama itu, penduduk-penduduk tempatan telah ditekan dan diugut oleh pihak polis Siam tempatan supaya berbohong. Dengan sebab itulah GEMPAR dengan lantang menganggap pembentukan jawatankuasa penyiasat itu sebagai satu propaganda murah Kerajaan Siam. GEMPAR mengingatkan orang-orang Melayu supaya berhati-hati agar tidak tertipu dengan helah dan muslihat pihak Siam. Sehubungan isu tersebut, antara lain GEMPAR menegaskan, Rakyat adalah diingatkan bahawa ini (perlantikan Suruhanjaya Khas) adalah tindak-tanduk diplomatik yang licin di pihak kerajaan Siam bagi tujuan mengambil hati orang-orang Melayu. Tawaran itu hendaklah ditolak oleh kerana apa yang kita tuntut ialah kebebasan beragama. Kita akan melayan mereka yang menerima tawaran itu sebagai pengkhianat bangsa.


Bagaimanapun, sebelum sempat Jawatakuasa Penyiasat menjalankan penyiasatannya, Khuang Aphaiwong telah diminta oleh pihak tentera yang diketuai oleh Jeneral Phin Chunhawan supaya meletakkan jawatan dengan alasan bahawa kerajaan pimpinannya telah gagal untuk mengatasi masalah dalam negeri. Khuang Aphaiwong pada awalnya enggan tunduk kepada tuntutan pihak tentera itu tetapi beliau akhirnya bersetuju meletakkan jawatan itu. Pibul Songgram, Ketua Turus Angkatan Tentera Darat, telah dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Majlis Pemangku Raja. Dengan perlantikan ini, Pibul Songgram telah menjadi Perdana Menteri Siam bagi kali kedua.

No comments:

Post a Comment