Monday, 5 April 2010

Pertemuan Abdullah Long Puteh dengan Tengku Mahmood Mahyideen

Ekoran desakan tersebut, Pibul Songgram telah mengarahkan Abdullah Long Puteh, Timbalan Menteri Pelajaran, mengadakan penyiasatan tentang kekacauan yang berlaku di Dusun Nyior. Beliau juga diminta supaya mengadakan pertemuan dengan Tengku Mahmood Mahyideen di Kota Bharu bagi membincangkan masalah orang Melayu.


Abdullah Long Puteh telah mengadakan rundingan dengan Tengku Mahmood Mahyideen di Kota Bharu,Kelantan pada 8 Mei 1948. GEMPAR menyambut baik cadangan pihak Thai untuk mengadakan rundingan itu. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, GEMPAR juga meminta kerajaan Siam membebaskan Haji Sulung dan rakan-rakannya. Pihak British telah menyambut cadangan mengadakan rundingan di antara kerajaan Siam dengan Tengku Mahmood Mahyideen bagi menyelesaikan masalah Patani. Sekiranya Pibul bersetuju dengan cadangan Abdullah itu,Pejabat Luar British berpendapat adalah baik sekiranya seorang pegawai kanan British juga menyertai rombongan Tengku Mahmood Mahyideen bagi pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Pandangan itu dikemukakan kepada Whittington, wakil kedutaan British di Bangkok.


Pada 21 Mei, Whittington telah berjumpa dengan Menteri Luar Siam,Mom Priditheppong Dewakul untuk bertanyakan cadangan Abdullah untuk mengadakan rundingan antara Tengku Mahmood Mahyideen dengan pihak Kerajaan Siam. Menteri itu bagaimanapun mengatakan bahawa pihak Kerajaan Siam masih belum membuat sebarang keputusan berhubung dengan cadangan itu. Melihat kepada jawapan Menteri itu, Whittington berpendapat bahawa kerajaan Pibul mungkin tidak menyetujui dengan rancangan Abdullah itu.Mereka menganggap masalah Patani adalah masalah dalam negeri Siam.


Berhubung pertemuan Abdullah-Mahyideen di Kota Bharu, Whittington berpendapat kemungkinan Abdullah bertindak di atas daya usahanya sendiri ataupun arahan Pibul secara peribadi sahaja.Keengganan kerajaan Siam untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan Tengku Mahmood Mahyideen ternyata amat mengecewakan pihak British. Malcolm Mac Donald, Pesuruhjaya Tinggi British bagi Asia Tenggara, mengingatkan Pejabat Luar British dan Kedutaan British di Bangkok bahawa kegagalan untuk menyelesaikan masalah Patani itu akan memberi peluang kepada pengaruh-pengaruh kiri untuk memperalatkannya bagi kepentingan mereka. Pejabat Tanah jajahan British juga kecewa dengan sikap Pibul.


Dalam suratnya ke pejabat Luar, J.B. Williams tidak percaya bahawa masalah Patani itu dapat diselesaikan dengan hanya memberi amaran kepada Tengku Mahmood Mahyideen supaya tidak melibatkan diri dalam krisis Selatan Siam. Beliau bimbang kegagalan Tengku Mahmood Mahyideen dalam usahanya untuk membela nasib orang-orang Melayu Patani akan menjejaskan kedudukannya sebagai seorang pemimpin yang sederhana, dan dengan demikian, memberi peluang kepada pemimpin baru yang lebih keras pendiriannya untuk mengambil alih pimpinan yang dianggap sederhana itu.


Pejabat Tanah Jajahan British juga sedar bahawa kerajaan British tidak ada hak untuk campur tangan dalam urusan Siam, namun begitu beliau mengingatkan bahawa kekacauan di selatan Siam bukan sahaja menjejaskan kepentingan British malahan juga orang Melayu di Semenanjung. Apa yang mereka tahu ialah masyarakat sebangsa dan seagama dengan mereka di Selatan Siam telah ditindas oleh pihak Siam.


Pada pandangan Pejabat Tanah Jajahan British sikap tidak mengambil peduli tentang pergolakan di selatan Siam tidak lagi meningkatkan perhubungan di antara Tanah Melayu dengan Siam. Memandangkan tidak ada lagi kemungkinan rundingan antara Tengku Mahmood Mahyideen dengan pihak Siam, Williams mendesak Kerajaan British supaya membuka semula pejabat Konsul British di Songkhla. Dengan pembukaan Pejabat Konsular itu, pihak British akan dapat meneliti perkembangan di empat wilayah tersebut dengan lebih dekat lagi.


No comments:

Post a Comment