Monday 5 April 2010

Berakhirnya Pemerintahan Beraja Melayu Patani

Sepanjang pemerintahan Sultan Muhammad (1842-56) dan dua orang penggantinya, Tengku Puteh (1856-81) dan Tengku Besar (1881-90), Negeri Patani berada dalam keadaan aman. Kerajaan Siam masih membenarkan Raja-Raja Melayu menguruskan pentadbiran dalam negeri. Bagaimanapun semasa Patani berada di bawah pemerintahan Tengku Sulaiman Syarifuddin (1890-98), Chulalongkorn, Raja Siam, mula merancang untuk menyusun semula pentadbiran wilayah mengikut sistem Thesaphiban. Di bawah peraturan ini, kerajaan negeri tidak lagi mempunyai kuasa otonomi dan dengan itu juga Raja-Raja Melayu akan kehilangan kedaulatan mereka. Tindakan kerajaan Siam itu telah mencetuskan konflik di antara Raja-Raja Melayu Patani dengan kerajaan Siam sehingga membawa kepada penahanan Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, Raja Patani, pada tahun 1902.

Pada 18 Januari 1896, Chulalongkorn memberitahu Putera Damrong, Menteri Dalam Negeri Siam, betapa pentingnya pentadbiran wilayah disusun semula. Antara lain baginda menegaskan If we do not put our administration in order, we will not have enough income, which is the source of the power needed to defend the country. The expansion of the earnings which result from the facilitation of the people’s methods of earning their livelihood and making a living out of the produce of the soil. The strengthening and the retionalization of the administration and the development of the economy are therefore the ultimate aims of this kingdom (Tej Bunnag 1977, 91).

Terdapat beberapa sebab yang jelas mengapa kerajaan Siam membuat keputusan mengubah dasar pemerintahannya terhadap negeri-negeri Melayu. Perubahan dasar pemerintahan Siam ini mempunyai pertalian rapat dengan pengolakan yang berlaku di rantau Asia Tenggara dalam tahun-tahun 1890-an (Iraklein 1968, 52-68; Chandran 1971, 143-59). Kehadiran kuasa-kuasa penjajah dengan dasar imperialisma mereka di Asia Tenggara telah menimbulkan kebimbangan Siam terhadap keutuhan wilayahnya, terutamanya wilayah-wilayah yang terpencil dari kawalan kerajaan pusat di Bangkok seperti negeri-negeri Melayu di Selatan Siam. Kerajaan Siam khuatir sekiranya wilayah-wilayah ini tidak disatukan di bawah kekuasaan Siam kemungkinan besar wilayah-wilayah tersebut akan dikuasai oleh kuasa-kuasa Barat.

Dalam tahun-tahun 1890-an, kuasa-kuasa Perancis dan British berlumba-lumba meluaskan kawasan jajahan masing-masing di rantau ini. Perlumbaan mereka telah sampai ke kemuncaknya pada tahun 1893 (Claire Hirshfield 1968, 35-38). Perancis berjaya mencapai matlamatnya di timur Sungai Mekong dengan menggunakan kekerasan ke atas Siam, manakala British pula menumpukan perhatian ke kawasan di timur laut Burma dan selatan China, dan juga di negeri-negeri Melayu Utara sehingga ke Segenting Kra. Walaupun pihak British menghormati kemerdekaan dan kedaulatan wilayah Siam namun sejak tahun-tahun 1890-an lagi perwakilan British di Tanah Melayu telah mendesak supaya pengaruh British diperluaskan ke negeri-negeri Melayu utara sehingga ke Segenting Kra (Ira Klein 1968, 62-68; Chandran, J 1971,143-59). Pada tahun 1896, setelah Frank Swettenham menjadi Residen-Jeneral yang pertama bagi negeri-negeri Melayu Bersekutu, kempen untuk menggabungkan Negeri-negeri Melayu utara itu dengan jajahan British semakin rancak.

Keadaan semakin bertambah genting dengan termeterainya pengisytiharan British-Perancis pada 15 Januari 1896 (Chandran, J 1970, 105-120). Pengisytiharan itu hanya memperakui kedaulatan wilayah Siam di Lembah Chao Phraya sahaja dan tidak menyentuh tentang keadaan di Negeri-negeri Melayu utara. Sungguhpun pengisytiharan itu memperakui kedaulatan wilayah Siam di Lembah Chao Phraya, Siam bimbang kerana syarat tersebut tidak menghalang Peranchis atau British mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menggugat kemerdekaan kerajaan Siam. Jelas di sini bahawa pengisytiharan itu tidak menjamin kemerdekaan dan keutuhan wilayah Siam tetapi memberi peluang kepada kerajaan Siam untuk merombak sistem pentadbiran wilayah.

Cadangan Chulalongkorn itu telah disokong oleh Putera Damrong, Menteri Dalam Negeri. Selepas membuat beberapa tinjauan mengenai sistem pentadbiran wilayah, Putera Damrong mencadangkan kepada Chulalongkorn supaya pentadbiran wilayah disusun semula mengikut Sistem Thesaphiban (Nantawan Haemindra 1976). Di bawah Sistem Thesaphiban, pentadbiran wilayah akan disusun dan dikumpulkan ke dalam satu unit yang dikenali sebagai Monthon. Tiap-tiap Monthon ditadbir oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi (Khaluang Thesaphiban) yang bertanggungjawab kepada Menteri Dalam Negeri. Di bawah sistem ini juga, semua kakitangan kerajaan dari peringkat atas sehingga ke peringkat bawah dibayar gaji mengikut skim kebangsaan.

Setelah memperoleh persetujuan daripada Chulalongkorn, dalam bulan Mei 1897, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan Akta Pentadbiran Daerah (Phraratchabanyat laksana pakkhrong thongthi) (Tej Bunnag 1977, 118). Pada bulan Februari 1899, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan pula Peraturan Mengenai Pentadbiran Wilayah (Kho bangkhap pokkhrong huamung).

Peraturan tersebut memberi kuasa kepada Kementerian Dalam Negeri untuk melumpuh dan menghapuskan "whatever remained of the provincial administration independent existence". Di bawah peraturan ini, jawatan raja Negeri ataupun Gabenor tidak lagi bersifat ‘semi-hereditary’. Raja Siam diberi kuasa untuk melantik atau melucut Raja Negeri atau Gabenor. Raja Negeri tidak lagi mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman mati (phu samret ratchakan) di peringkat negeri. Mereka juga hanya dianggap sebagai seorang pegawai kerajaan (phu wa ratchakan). Peraturan ini juga melucutkan beberapa keistimewaan yang ada pada Raja-raja negeri. Raja-raja tidak lagi mempunyai kuasa untuk melantik pegawai-pegawai kanan kerajaan kecuali Pendakwaraya (yokkrabat) dan Pegawai Hasil (phu chuai) sahaja. Sungguhpun begitu, sebelum sebarang perlantikan dibuat, Raja negeri hendaklah terlebih dahulu mendapatkan persetujuan atau kebenaran Pesuruhjaya Tinggi Wilayah yang berkenaan.Sebaliknya, Pesuruhjaya Tinggi wilayah diberi kuasa untuk melantik lima orang pegawai, dua daripadanya ialah penolong Gabenor dan Timbalan Gabenor.

Di samping itu, Raja-Raja Negeri juga kehilangan sebahagian daripada hasil negeri. Mereka juga tidak dibenarkan melibatkan diri dalam perniagaan ataupun memajakkan cukai (tax-farms). Mereka tidak dibenarkan mempunyai pendapatan sampingan selain daripada gaji yang dibayar oleh Kerajaan pusat. Peraturan itu juga menegaskan bahawa Gabenor bertanggungjawab kepada Pesuruhjaya Tinggi. Gabenor tidak mempunyai kuasa ke atas kakitangan bawahan. Sebarang tindakan yang diambil oleh Gabenor hendaklah dilaporkan kepada Pesuruhjaya Tinggi Wilayah dalam masa tujuh hari selepas tindakan itu diambil.

Jika dilihat pada Peraturan 1899, jelas menunjukkan bahawa peraturan ini bertujuan melumpuhkan kekuasaan Raja negeri dan dengan demikian menguatkan lagi cengkaman kerajaan pusat ke atas pentadbiran wilayah.Dengan peraturan ini pihak berkuasa di Bangkok berharap ia akan dapat mengawal wilayah-wilayah luar khasnya daripada gangguan pihak asing

Proses pelaksanaan Peraturan 1899 ini akan dijalankan secara berperingkat-peringkat. Putera Damrong tidak mahu pelaksanaan reformasi pentadbiran ini menimbulkan tanggapan negatif kuasa-kuasa Barat, khususnya British, bahawa pihak Siam sedang berusaha menyekat pengaruh mereka di wilayah-wilayah tersebut. Putera Damrong pernah mengingatkan kakitangan pentadbirannya tentang pentingnya mengekalkan hubungan baik dengan British kerana kerajaan Siam perlukan sokongan pihak British bagi membendung ancaman Perancis (Tej Bunnag 1977, 138-39). Di samping itu beliau juga tidak mahu menggunakan paksaan ke atas raja-raja negeri supaya menerima peraturan baru itu. Beliau bimbang tindakan semacam itu akan hanya ‘…alienate the provincial nobility and make them run to the foreigners’. Berdasarkan prinsip ini, Putera Damrong memulakan usaha ke arah penyusunan semula sistem pentadbiran di wilayah-wilayah luar.

No comments:

Post a Comment