Monday 5 April 2010

Perjuangan untuk Kemerdekaan dan Percantuman

Penglibatan Siam dalam Perang Pasifik di pihak Jepun (1942-45) telah meletakkan Siam ke dalam kategori negara musuh oleh pihak Berikat. Berikutan kekalahan British di Tanah Melayu serta kekalahan Amerika Syarikat di Hawaii, pada 21 Disember 1941 Pibul Songgram telah mengambil keputusan untuk memihak kepada Jepun. Sebagai ganjaran, Jepun berjanji akan menyerahkan keempat-empat buah negeri Melayu Utara – Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis – kepada Siam. Pada 25 Januari 1942, Siam mengisytiharkan perang terhadap Britain dan Amerika Syarikat. Berbeza dengan Amerika Syarikat, kerajaan British memilih untuk mengiktiraf pengisytiharan peperangan tersebut dan dengan demikian meletakkan negara itu dalam keadaan perang dengan Britain. Kedudukan tersebut telah memberi peluang sekali lagi kepada orang Melayu Patani untuk berusaha mendapatkan sokongan British bagi membebaskan Patani dan wilayah-wilayah di sekitarnya daripada belenggu Siam.


Tengku Mahmood Mahyideen, putera Tengku Abdul Kadir Kamaruddin,Raja Negeri Patani yang terakhir, telah diamanahkan untuk memikul tanggungjawab tersebut.Tengku Mahmood Mahyideen dilahirkan di Patani pada tahun 1905 (Direck Jayanama 1967, 65-66; B.A. Batson 1980, 276). Beliau mendapat pendidikan awal di Kolej Assumption di Bangkok. Sebelum beliau sempat untuk menamatkan pelajarannya di kolej tersebut, Tengku Mahmood Mahyideen terpaksa berpindah ke Kelantan bersama-sama keluarganya ekoran berlakunya Pemberontakan Belukar Semak pada tahun 1923. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajarannya di Penang Free School sehingga tamat peperiksaan Sijil Senior Cambridge. Dalam tahun 1933, beliau telah memasuki Perkhidmatan Awam Kelantan sebagai Penguasa Pelajaran Negeri.


Berikutan kematian bapanya pada tahun 1933, Tengku Mahmood Mahyideen telah mengambil alih tanggungjawab sebagai pelindung kepada orang-orang Melayu Patani. Tengku Mahmood Mahyideen adalah anggota Kelantan Volunteer Force (KVF) dengan pangkat A Company Quarter Master Sergeant. Apabila meletus perang Dunia Kedua, KVF turut terlibat secara langsung dengan 9th Indian Division untuk mempertahankan negeri Kelantan dari serangan Jepun. Berikutan kejatuhan Kelantan ke tangan Jepun pada pertengahan Disember 1941, Tengku Mahmood Mahyideen telah mengambil keputusan berundur bersama-sama tentera British ke Singapura.


Pihak British bagaimanapun gagal untuk menyekat kemaraan tentera Jepun. Pada awal bulan Februari 1942, Tengku Mahmood Mahyideen memilih untuk belayar ke India dengan menumpang sebuah kapal yang dikenali ‘S.S. Kuala.’(Kobkhua Suwanna that-Pian 1989, 276). Sebaik berada di perairan Pulau Ompong, Sumatera, kapal tersebut telah diserang oleh tentera udara Jepun dan tenggelam. Dalam peristiwa itu, Tengku Mahmood Mahyideen telah berjaya menyelamatkan dua orang anggota tentera British. Oleh kerana keberaniannya itu, Tengku Mahmood Mahyideen telah dianugerahkan pingat Order of the British Empire atau O.B.E. oleh kerajaan British selepas Perang.


Semasa di India, Tengku Mahmood Mahyideen telah berkhidmat sebagai pengelola dan penyelaras di Bahagian Melayu, All India Radio. Beliau diberi tanggungjawab untuk menerbitkan siaran Melayu yang diberi nama "Suara Harimau Malaya" yang dipancarkan ke Tanah Melayu dan sekitarnya. Beliau memakai gelaran "Raja Mopeng" dalam siaran itu (lihat The Malayan Historical Journal, no.1, 1954, 60-64). Melalui siaran ini, Tengku Mahmood Mahyideen cuba untuk membangkitkan semangat orang-orang Melayu supaya bekerjasama dengan pihak Berikat bagi menentang Jepun serta tali barutnya,Siam.


Apabila Southeast Asia Command (SEAC) ditubuhkan dalam tahun 1944,Tengku Mahmood Mahyideen telah diambil bertugas dalam Force 136 sebagai Ketua Bahagian Melayu berpangkat Mejar. Sebagai anggota Force136, beliau telah ditugaskan untuk menubuhkan Pasukan Gerila Melayu bagi menjalankan operasi anti-Jepun/Siam di pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu.Beliau telah mengambil pelajar-pelajar Melayu yang menuntut di Arab Saudi,Mesir, Jordon, Palestin, Iraq, Britain dan India bagi menganggotai Force 136.


Ketika itu Tengku Mahmood Mahyideen juga telah mengambil kesempatan untuk mempengaruhi pegawai-pegawai kanan British di India supaya mengambil kira kedudukan Patani dalam penggubalan dasar terhadap Siam.Tengku Mahmood Mahyideen berhasrat melihat Patani bebas daripada belenggu kekuasaan Siam selepas tamat perang. Daripada perbualan dengan pegawai-pegawai British yang berkhidmat di India, Tengku Mahyideen mendapat tahu bahawa kerajaan British amat marah terhadap tindakan Pibul Songgram memihak kepada Jepun dalam peperangan itu. Pada pandangan British, Siam bukan sahaja telah melanggar Perjanjian Bangkok 1909 mengenai kedudukan Negeri-negeri Melayu Utara tetapi juga tidak menghormati Perjanjian Tidak Menceroboh yang dimeterai dalam bulan Jun 1940. Oleh sebab itu juga kerajaan British enggan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai masa depan Siam walaupun kuasa-kuasa lain telah membuat demikian.


Antara cadangan awal yang diterima oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Luar British berhubung Siam adalah yang dikemukakan oleh Sir Josiah Crosby, bekas Menteri British di Bangkok. Beliau mencadangkan supaya kerajaan British mengenakan hukuman seberat mungkin ke atas Siam kerana bersubahat dengan Jepun. Beliau mencadangkan supaya Siam diletakkan di bawah pengawasan Bangsa-bangsa Bersatu untuk beberapa ketika selepas perang nanti. Bagaimanapun, cadangan yang berkaitan dengan Selatan Siam telah dikemukakan oleh Sir George Maxwell, bekas ketua Setiausaha bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. Dalam memorandum yang dikemukakan kepada Pejabat Tanah Jajahan British pada awal Mac 1943 bertajuk "Masa Depan Segenting Kra" (Nik Anuar 1994), Maxwell mencadangkan supaya kerajaan British mengambil alih Segenting Kra atas alasan keselamatan. Pada pendapat Maxwell, wilayah itu merupakan "tumit Achilles" bagi Empayar British, iaitu Tanah Melayu dan Burma. Di wilayah inilah Jepun telah mendaratkan tenteranya dan berjaya menghancurkan pertahanan British di Tanah Melayu dan juga Burma.


Beliau menegaskan pembinaan terusan di Segenting Kra akan memberi ancaman secara langsung ke atas Singapura. Beliau menegaskan adalah tidak begitu sulit bagi British untuk mengambil wilayah itu kerana dari segi etnik, kebanyakan daripada penduduk-penduduk di wilayah itu terutamanya wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan Setul adalah terdiri daripada orang-orang Melayu yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan orang-orang Melayu di Semenanjung. Cadangan Maxwell itu mendapat perhatian pihak Pejabat Tanah Jajahan di London. Pejabat Tanah Jajahan berpendapat tidak akan timbul sebarang masalah dari segi sosial untuk menjadikan wilayah-wilayah Melayu di Selatan Siam sebagai sebahagian daripada Tanah Melayu.


Bagaimanapun cadangan itu mungkin akan ditentang oleh Amerika. Untuk mengelakkan tentangan dari Amerika adalah lebih baik bagi British menubuhkan pangkalan tentera di wilayah itu, sebagaimana yang dibuat oleh Amerika di Hindia Barat. Dalam tahun 1944, kerajaan British telah membentuk sebuah Jawatankuasa yang dikenali sebagai ‘Jawatankuasa Perancangan Selepas Perang’ bagi mengkaji dasar yang sepatutnya diambil terhadap Siam. Jawatankuasa itu telah meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Pejabat Tanah Jajahan berhubung dengan Segenting Kra.1 Bagaimanapun jawatankuasa itu berpendapat bahawa adalah sukar bagi Britain untuk menguasai wilayah tersebut berdasarkan sikap Amerika yang berpendirian bahawa keutuhan dan kedaulatan wilayah Siam mestilah dipertahankan dan dihormati oleh semua pihak. Amerika Syarikat tidak mahu melihat wilayah Siam terjejas kecuali wilayah-wilayah yang diperolehi oleh Siam ketika perang.


Dengan demikian cadangan pengambilan Segenting Kra terpaksa diketepikan. Jawatankuasa itu tidak menolak cadangan untuk membuka pangkalan di sana tetapi cadangan itu kurang mendapat sokongan daripada pihak lain. Sebaliknya Jawatankuasa itu mencadangkan supaya ditubuhkan Misi Tentera British di Siam bagi mengawasi kerajaan Siam dalam urusan pertahanan. Sungguhpun begitu Jawatankuasa Perancang Selepas Perang menyerahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Hal-Ehwal Timur Jauh untuk memutuskannya.


Dalam tahun 1944, Tengku Mahmood Mahyideen mula menghantar pasukannya ke Tanah Melayu. Melalui Force 136 beliau telah berjaya mengadakan hubungan dengan orang-orang Melayu Patani di Selatan Siam dan membantu mereka menubuhkan pasukan gerila bagi menentang pihak Jepun dan Siam. Mengikut rancangan Tengku Mahmood Mahyideen, apabila pihak Berikat membuat pendaratan di Selatan Siam, pasukan gerila dengan kerjasama Force 136, akan bangkit menentang Jepun dan Siam. Beliau berpendapat apabila keempat-empat wilayah ini dikuasai oleh pihak Berikat, orang Melayu Patani bolehlah merayu kepada Bangsa-Bangsa Bersatu supaya membebaskan wilayah-wilayah mereka daripada Siam sejajar dengan Perisytiharan San Francisco.


Tanpa mengetahui kedudukan sebenar mengenai pendirian British terhadap masa depan Segenting Kra, Tengku Mahmood Mahyideen telah diraikan dalam satu jamuan yang diadakan di New Delhi di mana para pengawai kanan tentera telah melahirkan harapan semoga beliau mencapai kejayaan dalam cita-citanya berasaskan Piagam Atlantik, Perisytiharan Cairo dan San Francisco.Malangnya, sebelum sempat Pihak Berikat melancarkan Operasi Zipper, pada 15 Ogos 1945, pihak Jepun telah mengisytiharkan kekalahannya dan menyerah diri tanpa sebarang syarat setelah bandar Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh tentera Berikat. Dengan demikian, operasi di Semenanjung Tanah Melayu dan Selatan Siam ditarik balik. Begitu juga keadaannya di Bangkok. Pridi Banamyong, Pemangku Raja, telah mengisytiharkan bahawa pengisytiharan perang yang dibuat oleh Pibul Songgam pada 25 Januari 1942 terhadap Britain dan Amerika sebagai tidak sah. Kerajaan Siam juga akan menyerah balik Negeri-negeri Melayu Utara kepada kerajaan British dan membayar ganti rugi kepada pihak Berikat di atas segala kemusnahan harta-benda mereka semasa perang. Bagaimanapun, Tengku Mahmood Mahyideen masih lagi menaruh harapan agar Siam dihukum oleh pihak Berikat, khususnya Britain kerana Siam bersubahat dengan Jepun.


No comments:

Post a Comment