Monday 5 April 2010

Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954



Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954
Oleh Nik Anuar Nik Mahmud

Muqaddimah

Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954

Sengketa di perbatasan negeri berlaku di merata dunia sepanjang masa. Bukan sedikit tentera dan orang awam terkorban sebelum Bukit Golan jatuh ke tangan Israel, India dan Pakistan berbalah hingga ke saat ini bagi mengesahkan hak ke atas Kashmir. Demikian juga halnya dengan isu Patani, Mindanao, Aceh, Timor Timur, Pulau Batu Putih, Pulau Layang-layang dan Spratly yang turut dituntut oleh Malaysia. Bukit Golan yang subur, Kashmir yang indah kepada pelancong, Spratly yang strategik bagi ketenteraan dan dikatakan sarat dengan petroleum di perut buminya, tapak Masjid Babri kerana sentimen agama terdahulu – semua ini menjadi alasan bagi sengketa, perbalahan dan perebutan.

Siri ini akan memberi tumpuan ke atas konflik sempadan yang berlaku di beberapa wilayah di rantau Asia Tenggara, bermula dengan konflik di Patani. Kajian dan perbahasan dalam siri ini diharap akan menumbuhkan sosok baru dalam kajian sejarah Malaysia dan serantau.

Nik Anuar Nik Mahmud. 1999. Sejarah Perjuangan Melayu Patani,

Buku ini diabadikan kepada

pejuang-pejuang Melayu Patani,

khususnya almarhum Tengku Mahmood Mahyideen

dan Tuan Guru Haji Sulung

yang telah berusaha dengan gigih untuk

mempertahankan agama bangsa dan

tanah air ini.

Semenjak Pemerintahan Beraja Melayu dihapuskan pada tahun 1902, orang Melayu Patani berada dalam keadaan tertekan dan daif. Seperti yang diungkap oleh W.A.R. Wood, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang 'misgoverned'. Justeru, tidaklah hairan apabila kekacauan seringkali berlaku di wilayah selatan antara tahun 1910 hingga 1923. Dalam masa pemerintahan Pibul Songgram (1939-44), orang Melayu telah menjadi mangsa dasar asimilasi kebudayaan atau dasar Rathaniyom.

Tindakan Pibul Songgram memihak kepada Jepun dalam Perang Dunia Kedua telah memberikan harapan kepada orang-orang Melayu Patani untuk membetulkan ketidakadilan yang dikenakan ke atas mereka oleh Perjanjian Bangkok (1909). Tengku Mahmood Mahyideen, seorang pegawai berpangkat Major dalam pasukan Force 136, pernah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil alih Patani dan wilayah sekitarnya serta digabungan dengan Tanah Melayu. Harapan mereka bertambah cerah apabila kuasa-kuasa besar dalam persidangan di San Francisco pada bulan April 1945 telah berjanji akan membantu untuk membebaskan mana-mana negeri yang terjajah berasaskan prinsip hak menentukan nasib sendiri (self-determination)

Pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Narathiwat, telah mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan daripada ‘penjajahan’ Siam. Pendirian British terhadap Siam bagaimanapun berubah apabila Peperangan Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan British di Asia Tenggara menjadi pertimbangan utama kerajaan British dalam penggubalan dasarnya terhadap Siam atau pun Patani. Kerajaan British juga memerlukan kerjasama Siam bagi mendapatkan bekalan beras bagi keperluan tanah jajahannya. Tidak kurang pentingnya kerajaan British terpaksa menyesuaikan dasarnya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan wilayah Siam seperti dalam tahun 1941.

Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara selepas perang juga menjadi faktor pertimbangan British dalam menentukan dasarnya. Kerajaan British menganggap Siam sebagai negara penampan terhadap ancaman Komunis Cina. Justeru, Kerajaan British mahu pastikan Siam terus stabil dan memihak kepada Barat dalam persaingan dengan negara-negara Komunis. Kebangkitan Komunis di Semenanjung Tanah Melayu pada bulan Jun 1948 memerlukan British mempertingkatkan lagi kerjasama dengan Siam bagi menghapuskan kegiatan pengganas-pengganas Komunis di perbatasan Siam-Tanah Melayu. Oleh kerana itu Isu Patani dianggap sebagai penghalang ke arah kerjasama sempadan yang berkesan untuk British dengan Siam.

Selepas persidangan Songkhla pada awal bulan Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu mula mengambil tindakan ke atas kegiatan GEMPAR di Semananjung Tanah Melayu. Tengku Mahmood Mahyideen, seorang pemimpin utama Melayu Patani, telah ditekan oleh pihak berkuasa British di Tanah Melayu manakala Tuan Guru Haji Sulung telah ditangkap oleh pihak berkuasa Siam atas tuduhan subversif. GEMPAR, sebuah pertubuhan politik masyarakat Melayu Patani di Semenanjung juga telah disekar aktivitinya. Akibat daripada tekanan tersebut, gerakan Melayu Patani mula lemah dan goyah. Sungguhpun begitu, perjuangan Tengku Mahmood Mahyideen dan Tuan Guru Haji Sulung telah diteruskan generasi muda Patani. Dalam tahun 1960-an, beberapa pertubuhan pembebasan telah ditubuhkan bagi memperjuangkan kemerdekaan Patani melalui perjuangan bersenjata. Perjuangan itu bagaimana pun masih belum menempa sebarang kejayaan.

Tumpuan buku ini ialah tentang perjuangan orang Melayu Patani dalam usaha membebaskan Patani daripada cengkaman pemerintahan Siam dan mencantumkannya dengan Tanah Melayu. Kajian ini meninjau reaksi Britain dan Siam terhadap gerakan tersebut.

Dalam menyiapkan buku ini penulis banyak mendapat pertolongan daripada pelbagai pihak. Saya ingin menyampaikan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada mendiang Dr. David K.Bassett, bekas Pengarah, Pusat Kajian Asia Tenggara di University of Hull, England, kerana bimbingan dan teguran yang sangat berharga semasa penulisan draf buku ini. Tidak ketinggalan juga penghargaan untuk rakan-rakan di Jabatan Sejarah, UKM yang turut memberi tunjuk ajar. Saya juga terhutang budi kepada Public Record Office, Kew serta Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM atas kerjasama yang diberi kepada penulis semasa menjalankan penyelidikan. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Penerbit UKM atas penerbitan buku ini.

Jabatan Sejarah

Universiti Kebangsaan Malaysia

Bangi

Kerajaan Melayu Patani

Sejarah awal Kerajaan Melayu Patani masih lagi diselimuti kekaburan. Dalam catatan sejarah tidak dapat dipastikan asal-usul atau tarikh sebenar kerajaan Melayu Patani didirikan. Mengikut catatan pelawat-pelawat China yang membuat perhubungan dengan negeri-negeri Asia Tenggara pada abad kedua Masehi sebuah negeri bernama "Lang-ya-shiu" atau Langkasuka (Paul Wheatley 1961, 387-412) sudahpun wujud ketika itu.

Berpandukan catatan tersebut ahli-ahli sejarah Eropah percaya bahawa negeri Langkasuka yang terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu antara Senggora (Songkhla) dan Kelantan itu adalah lokasi asal negeri Patani. Adalah dipercayai bahawa ibu negerinya pada masa itu terletak di sekitar daerah Yarang. Patani adalah sebuah kerajaan yang termaju di Semenanjung Tanah Melayu dan sebuah pelabuhan yang penting sejak kurun ke-8 Masehi kerana Teluk Langkasuka (Teluk Patani sekarang) sangat sesuai dijadikan tempat kapal-kapal dagang berlabuh dan berlindung daripada ribut tengkujuh.

Paul Wheatly menjelaskan bahawa kerajaan Langkasuka menguasai jalan perdagangan timur-barat melalui Segenting Kra dan kekuasaannya meliputi kawasan Semenanjung sehingga ke Teluk Benggala. Kerajaan Melayu Langkasuka wujud sehingga menjelang abad ketiga belas dan diganti oleh Kerajaan Melayu Patani.

Persoalan bagaimana Langkasuka bertukar menjadi Patani masih belum dapat dipastikan oleh para pengkaji sejarah kerana tidak ada sebarang cacatan sejarah yang jelas mengenainya. A.Teeuw dan Wyatt berpendapat bahawa Patani telah ditubuhkan sekitar pertengahan abad ke-14 dan ke-15. Pendapat mereka berasaskan kepada tulisan Tomes Pires dan lawatan Laksamana Cheng Ho ke rantau ini dalam tahun 1404-1433 T.M. (Teeuw & Wyatt 1970,3). Mengikut Hikayat Patani pula, Kerajaan Melayu Patani berasal dari kerajaan Melayu yang berpusat di Kota Mahligai yang diperintah oleh Phya Tu Kerab Mahayana (Teeuw & Wyatt 1970,68).

Oleh kerana kedudukan Kota Mahligai itu terlalu jauh ke pedalaman dan sukar untuk didatangi oleh pedagang-pedagang telah menyebabkan Phya Tu Antara, anak Phya Tu Kerab Mahayana, memindahkan pusat kerajaannya ke sebuah perkampungan nelayan yang kemudiannya diberi nama "Patani", dipercayai berpusat di Kampong Grisek dalam wilayah Patani sekarang ini.

Kedudukan Patani di Semenanjung Siam yang strategik dari segi geografi, telah menyebabkan kota itu menjadi tumpuan pedagang-pedagang asing baik dari barat atau timur untuk singgah sama ada untuk beristirahat ataupun berdagang. Dalam masa yang singkat saja Patani telah muncul sebagai sebuah kerajaan yang penting, maju dari segi ekonomi serta stabil dari segi politik dan pemerintahan. Dasar perhubungan antarabangsanya yang baik telah menyelamatkan Patani daripada jatuh kepada penjajah-penjajah Siam, Portugis dan Belanda.

Agama Islam juga telah membawa angin perubahan yang bermakna kepada Patani. D’ Eredia, seorang pelawat Portugis, telah menulis dalam tahun 1613 bahawa Islam telah bertapak di Patani lebih awal daripada Melaka (Mills 1930). Dalam hal ini, Teeuw dan Wyatt berkeyakinan bahawa Islam telah bertapak di Kuala Berang, Terengganu, iaitu pada sekitar 1386 - 87 T.M. (Teeuw & Wyatt 1970, 4). Phya Tu Antara, yang memeluk Islam melalui seorang ulama dari Pasai, Syeikh Said, telah menukar namanya kepada nama Islam iaitu Sultan Ismail Syah Zillullah Dil Alam (Teeuw & Wyatt 1970, 68-69). Semenjak itu, Patani telah menjadi tumpuan saudagar-saudagar Islam dan menjadikannya sebagai pusat perdagangan Timur-Barat yang terkenal di rantau ini. Patani bertambah maju apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.

Patani Diserang oleh Kerajaan Chakri

Selepas Phya Taksin berjaya mengalahkan Burma di Ayuthia dalam tahun 1776, Siam telah menumpukan pula perhatiannya ke atas negeri-negeri di selatan semenanjung yang telah mengisytiharkan diri semasa perang Burma-Siam dahulu. Negeri-negeri di Selatan Semenanjung iaitu Ligor, Songkhla dan Pattalung telah diserang oleh Siam. Keadaan ini menyebabkan raja negeri-negeri tersebut terpaksa mencari perlindungan di Patani. Oleh kerana pemerintahnya, terpaksa tunduk kepada desakan Siam supaya raja-raja tersebut diserah kepadanya. Pada tahun 1779, Sultan Muhammad pula telah dipaksa memberi bantuan kepada Siam untuk menentang Burma. Apabila Sultan Muhammad enggan membuat demikian, Phraya Chakri telah memerintah adiknya, Putera Surasi, dengan dibantu oleh Phraya Senaphutan, Gabenor Pattalung, Palatcana dan Songkhla supaya menyerang Patani pada tahun 1785 (Gresick 1976, 127; Thadeus & Chadin Flood 1978, 15 dan Wenks 1968,101). Walaupun kerajaan Melayu Patani cuba mempertahankan diri tetapi Siam telah berjaya menguasai Patani pada tahun berikutnya.

Sultan Muhammad pula telah syahid dalam pertempuran dengan pihak Siam (Light 1786)1. Akibat kekalahan itu, seramai 4,000 orang Melayu Patani telah dijadikan tawanan dan dibawa ke Bangkok sebagai hamba tebusan. Berikutan kejatuhan Patani itu, Tengku Lamidin, Raja Bendang Badan,telah dilantik oleh Siam sebagai Raja Patani yang baru. Tengku Lamidin bagaimanapun tidak lama berkuasa. Dalam tahun 1791, Tengku Lamidin telah bersatu dengan Raja Annam yang beragama Islam, Okphaya Cho So, dan memberontak serta menyerang kedudukan tentera Siam di Tiba, Chanak, Songkhla dan Saiburi.Dalam kebangkitan itu, Tengku Lamidin telah dibantu oleh Sheikh Abdul Kamal, seorang ulama berasal dari Mekah, tetapi gagal (Teeuw & Wyatt 1970, 23).Kemudian pihak Siam, atas cadangan Ligor, telah melantik Datuk Pengkalan sebagai Raja Patani. Pada tahun 1808 Datuk Pengkalan juga bangkit menentang Siam. Walau bagaimanapun, pemberontakan itu juga telah dapat dipatahkan oleh Siam setelah mendapat bantuan kerajaan pusat di Bangkok Kerajaan Melayu Patani telah dipecahkan kepada tujuh buah negeri atau hua muang untuk melemahkan orang Melayu Patani.

Di tiap-tiap buah negeri itu, telah dilantik seorang raja atau chao muang di bawah pengawasan Songkhla. Dengan perubahan ini, maka berakhirlah keagungan Kerajaan Melayu Patani. Kini Kerajaan Melayu Patani hanyalah salah sebuah dari negeri yang baru dibentuk. Tujuh buah negeri tersebut dan raja-raja pemerintahnya adalah seperti berikut (Bonney, R 1971, 79).:


Patani Tuan Sulung
Teluban Nik Dir
Nongchik Tuan Nik
Jalor Tuan Yalor
Jambu Nai Pai
Rangae Nik Dah
Reman Tuan Mansur

Dengan memecahkan kerajaan Melayu Patani, kerajaan Siam percaya mereka dapat melemahkan orang Melayu Patani daripada bangkit menentang. Sejajar dengan itu arahan raja telah dikeluarkan kepada raja-raja negeri Melayu bahawa hukuman mati ataupun penjara akan dikenakan terhadap mana-mana raja, termasuk keluarga mereka, sekiranya mereka memberontak atau menderhaka. Untuk mengukuhkan lagi penguasaannya ke atas negeri-negeri Melayu, kerajaan Siam telah melantik Raja Jambu, Nai Rai, seorang berketurunan Siam, sebagai wakil kerajaan pusat bagi mengawasi raja-raja di negeri lain. Sementara itu, kerajaan Siam juga memindahkan orang-orang Siam ke negeri-negeri tersebut dengan tujuan mengimbangkan penduduk yang berketurunan Melayu.

Pada tahun 1821, Siam menyerang pula Kedah dan memaksa Sultan Abdullah melarikan diri ke Pulang Pinang (Rahmat Saripan 1979, 83). Kekuasaan Siam ke atas negeri-negeri Melayu tersebut telah diakui oleh British seperti mana terbukti dengan termeterainya Perjanjian Burney dalam tahun 1826.

Dari tahun 1817 hingga tahun 1842, Patani telah diperintah oleh sekurang-kurangnya dua orang Raja Melayu. Orang yang pertama memegang jawatan itu ialah Tuan Sulong, anak Raja Bendahara Kelantan, Long Jenal. Baginda telah memegang jawatan itu sehingga tahun 1832 apabila baginda disingkirkan kerana terlibat dalam kebangkitan anti-Siam dalam tahun 1831. Berikutan penyingkiran itu, pihak Siam melantik pula Nik Yusof, yang berasal dari Grisek, sebagai Raja Patani. Semasa berlakunya kebangkitan anti-Siam dalam tahun 1838, Nik Yusof tidak terlibat. Dalam tahun 1842, Nik Yusof dilantik menjadi Raja Jering berikutan kematian Nai Him Sai. Bagi mengisi kekosongan itu, Siam melantik Tuan Besar Tun Ahmad, Raja kampong Laut dan bekas Perdana Menteri Kelantan sebagai Raja Patani. Sejak itu sehingga 1902, Patani telah diperintah oleh Tuan Besar dan keturunannya.

Kerajaan Melayu Patani di Bawah Keluarga Tuan Besar

Di antara ketujuh-tujuh buah negeri Melayu bekas kerajaan Melayu Patani, negeri Melayu Patani adalah yang paling berpengaruh. Dari tahun 1842 sehingga 1902, negeri Patani telah diperintah oleh keturunan Tuan Besar Tuan Ahmad, bekas Perdana Menteri Kelantan dan juga Raja Kampung Laut semasa Kelantan di bawah pemerintahan Long Jenal (1837-39) (Rahmat Saripan 1979, 72-73). Perlantikan Tuan Besar sebagai Raja Patani dalam tahun 1842 itu mempunyai kaitan dengan pergolakan politik di Kelantan dalam tahun 1838-39 yang dikenali sebagai Peperangan Saudara II.

Peperangan saudara itu berpunca daripada perebutan takhta antara Long Senik Mulut Merah atau Sultan Muhammad II dengan Tuan Besar Tun Ahmad, Raja Kampung Laut. Walaupun telah diiktiraf sebagai Sultan oleh Siam, Sultan Muhammad II masih curiga di atas kehadiran Tuan Besar dalam politik Kelantan. Baginda menganggap Tuan Besar sebagai pencabar utama terhadap kedudukannya sebagai Sultan kerana hubungan rapat Tuan Besar dengan Long Jenal, musuh politiknya. Pada pendapat Sultan Muhammad II,selagi Tuan Besar tidak disingkirkan dari Kelantan maka selama itu kedudukan baginda di atas takhta belum kukuh. Justeru, tidaklah hairan Sultan Muhammad II mengetepikan Tuan Besar daripada memegang sebarang jawatan penting dalam kerajaan. Walaupun ada ura-ura untuk melantik Tuan Besar sebagai Raja Bendahara namun tidak ada bukti menunjukkan bahawa jawatan itu pernah ditawarkan kepada Tuan Besar secara rasmi. Sebaliknya, sepanjang tempoh pemerintahan Sultan Muhammad II, jawatan itu dipegang oleh mereka yang bukan daripada kalangan kerabat diRaja (Rahmat Saripan 1979, 115). Di samping itu, hak Tuan Besar ke atas Kampung Laut juga dikatakan telah dihapuskan oleh Sultan. Keadaan ini akhirnya mencetuskan penentangan bersenjata secara terbuka di antara Sultan Muhammad II dengan Tuan Besar.

Kedua-dua belah pihak telah meminta pihak berkuasa Siam untuk campur tangan supaya menyebelahi mereka. Pada pertengahan tahun 1839, Phraya Phipath telah menghantar wakilnya ke Kelantan untuk mendamaikan konflik yang berlaku di antara kedua-dua pihak tetapi gagal. Pada 7 Julai 1839, Siam sekali lagi telah menghantar misi damai tetapi kali ini kedatangan misi itu telah disertai sebilangan anggota tentera Phraya Chaiya. Ketua misi itu telah memaksa kedua-dua pihak itu supaya berhenti berperang dan pergi ke Songkhla untuk menyelesaikan masalah masing-masing. Berikutan tekanan itu kedua-dua pihak berangkat ke Songkhla. Bagaimanapun, Tuan Besar telah diminta oleh Gabenor Songkhla pergi ke Bangkok untuk berunding dengan Raja Siam, Rama III (1824-51) mengenai masalah tersebut.

Dalam peristiwa tersebut pihak Siam lebih menyokong Sultan Muhammad II. Semasa Pemergian Tuan Besar ke Bangkok, Sultan Muhammad II, dengan disokong oleh Phraya Chaiya, telah melancarkan serangan ke atas kubu Tuan Besar dan menjelang bulan Ogos 1839, Sultan Muhammad II telah berjaya menumpaskan penentang-penentangnya.

Di Bangkok, Tuan Besar telah ditawarkan oleh Rama III jawatan sebagai Raja Patani sebagai satu penyelesaian politik terhadap masalah di Kelantan. Tawaran itu dibuat berikutan berlakunya kekosongan jawatan Raja negeri di Patani selepas Nik Yusuf, raja Patani, dilantik sebagai Raja Jering. Pada peringkat awalnya Tuan Besar agak keberatan untuk menerima tawaran itu tetapi setelah melihat kuasanya sebagai Perdana Menteri telah berkurangan dan ramai pula pengikutnya yang berpaling tadah, maka tawaran itu telah diterimanya. Pada pertengahan tahun 1842, Tuan Besar bersama pengikut-pengikutnya yang setia telah berangkat ke Patani. Dengan itu terdirilah wangsa Tuan Besar di Patani. Setelah disahkan oleh Rama III sebagai Raja Patani, Tuan Besar telah menukar namanya kepada Sultan Muhammad dan memakai gelaran Phya Pipik Pakdi. (Ibrahim Syukri) Kebetulan dengan perlantikan baginda sebagai Raja Patani, Kerajaan Siam telah mengubah dasar pentadbirannya terhadap negeri-negeri Melayu. Kerajaan Siam telah memberikan kuasa mentadbir tanpa campur tangan daripada pegawai-pegawai Siam. Raja-Raja Melayu hanya dikehendaki menghantar bunga Emas dan Perak setiap tiga tahun sekali ke Bangkok serta berikrar tidak akan menderhaka kepada kerajaan Siam.

Perubahan dasar Siam terhadap negeri-negeri Melayu dewasa itu mempunyai hubungan rapat dengan dasar kerajaan Rama III yang ingin mengekalkan keamanan dan keselamatan negeri Siam itu sendiri. Sebagaimana ditegaskan oleh Mills, Rama III menyedari bahawa ‘...there was no profit to be obtained from governing as a Siamese province a distant state whose inhabitants were resolved not to submit to alien rule. The experiments had been tried for twenty years, and the only result had been a constant series of rebellions’. (Mills 1960,34).

Ekoran berlakunya kebangkitan anti-Siam dalam tahun 1838, Rama III pernah menerima surat daripada Bonham, Gabenor Negeri-Negeri Selat mengingatkan bahawa ‘. . . the company had grown weary of bolstering up their (Siamese) power in Kedah. Should another revolt occur, the Straits Government had been ordered not to assist in its suppression’. (Mills 1960, 192-93). Menurut Nantawan Haemindra, seorang sejarawan Thai, perubahan dasar itu adalah suatu langkah yang berkesan dalam mengelakkan perasaan tidak puas hati dan kekacauan di Wilayah itu. Perlantikan elit tempatan sebagai Gabenor di tujuh buah wilayah tersebut telah mempertingkatkan lagi kemantapan politik Siam di kesemua negeri ufti tersebut (Nantawan Haemindra 1960). Sejak itu hingga ke beberapa dekad kemudiannya keamanan telah wujud di negeri-negeri Melayu Patani dan Kedah.