Monday 5 April 2010

Peraturan bagi Mentadbir Tujuh Wilayah bagi Tahun 120

Peraturan ini dirancang sebegitu rupa bagi mengukuhkan lagi kawalan kerajaan pusat ke atas semua peringkat dan bidang pentadbiran Negeri-negeri Melayu Patani. Di bawah peraturan ini, Negeri-Negeri Melayu Patani akan diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Wilayah masing-masing yang akan dianggotai oleh Phya Muang (RajaNegeri/Gabenor), selaku Pengerusi Majlis dan Palat Muang (Timbalan pengerusi), Yokrabat (Pegawai Undang-undang). Kesemua pegawai tersebut akan dilantik oleh Raja Siam di atas budi bicaranya.

Sungguhpun Majlis Wilayah diberi kuasa untuk mentadbir negeri itu, ia juga bertanggungjawab sepenuhnya kepada Residen-Jeneral (atau di kenali juga sebagai Pesuruhjaya Tinggi). Perkara ‘4’ dalam peraturan itu menyebut bahawa Majlis Wilayah hanya boleh mengadakan sebarang peraturan atau arahan selepas mendapatkan kelulusan atau kebenaran daripada Residen-Jeneral. Residen-Jeneral diberi kuasa oleh peraturan itu untuk membatalkan mana-mana peraturan atau arahan yang diluluskan oleh Majlis yang dianggap bertentangan dengan kepentingan kerajaan Siam ataupun bercanggah dengan peraturan, arahan atau undang-undang kerajaan atau perjanjian yang dilakukan oleh kerajaan Siam dengan sebarang kerajaan asing. Peraturan itu juga membolehkan Residen-Jeneral menggantung jawatan mana-mana pegawai termasuk Raja negeri atau Gabenor, sekiranya ia dianggap menggugat kepentingan kerajaan Siam.

Jika dilihat pada peraturan itu memang tidak dapat dinafikan ia bertujuan memperkukuhkan penguasaan kerajaan Siam ke atas pentadbiran ‘tributary states and outer porvinces’. Sungguhpun peraturan itu mengakui Raja sebagai Ketua negeri (Phya Muang) namun dalam mentadbir negeri itu, beliau dikehendaki berkongsi kuasa dengan timbalan pengerusi majlis dan juga anggota-anggota majlis yang lain. Baginda tidak boleh menguatkuasakan sebarang keputusan majlis kecuali setelah mendapatkan pengesahan daripada Palat Muang. Dengan itu tidaklah salah kalau dirumuskan bahawa ‘his position was merely titular’.

Putera Damrong juga memberitahu Tengku Abdul Kadir tentang perlantikan Phya Sekseni sebagai Residen-Jeneral atau Pesuruhjaya tinggi bagi negeri-negeri Melayu Patani. Putera Damrong mengingatkan baginda bahawa ‘The Rajah must listen to and follow Phya Sekseni’s Order’. Beliau juga berjanji akan menambahkan elaun kepada Tengku Abdul Kadir ‘in order to maintain the Rajah’s position’. Justeru, katanya sistem cukai di Patani perlu disusun semua kerana ‘the larger the revenue becomes the more the Rajah will get…’Dengan penggubalan Peraturan bagi mentadbir Tujuh Wilayah bagi tahun 120, maka kesemua peraturan pentadbiran, khususnya yang dicadangkan oleh Phya Sri sebelum itu terbatal.

Dalam jawapannya kepada Putera Damrong bertarikh 23 Disember 1901, Tengku Abdul Kadir merayu agar kerajaan Siam membenarkan Patani diperintah seperti sediakala iaitu selaras dengan surat pengiktirafan dari Raja Chulalongkorn yang menegaskan bahawa baginda ‘have the right to govern the state of Patani with justice and just as his predecessors had governed’.

Tengku Abdul Kadir juga menyatakan kesediaannya untuk membuat beberapa pindaan dalam sistem pentadbiran negeri Patani seperti menubuhkan majlis Negeri, mewujudkan jawatan Pegawai Kewangan Negeri, Jabatan Perbendaharaan dan Pejabat Ketua Daerah. Bagi memulihkan kekuasaan dan kedaulatan raja Melayu, Tengku Abdul Kadir mencadangkan supaya,

1. Raja diberi kuasa untuk melantik atau memecat mana-mana pegawai Kerajaan yang melakukan kesalahan.

2. Raja dibenarkan mempunyai seramai 60 orang anggota polis bersenjata.

3. Semua urusan negeri diuruskan dalam bahasa Melayu dan bukan dalam bahasa Siam.

4. Membenarkan bunga mas dan perak dihantar ke Bangkok seperti biasa.

Tengku Abdul Kadir juga berikrar akan mengekalkan perhubungan baik dengan Kerajaan Siam tetapi dengan syarat kerajaan Siam menghormati hak autonomi negeri Patani. Bagaimanapun cadangan Tengku Abdul Kadir itu ditolak oleh pihak berkuasa Siam.

Apabila gagal mendapat persetujuan daripada kerajaan Siam pada awal Januari 1902, Tengku Abdul Kadir sekali lagi merayu kepada Swettenham meminta kerajaan British campur tangan dan melepaskan negeri Patani daripada cengkaman pihak Siam. 29 Baginda juga mengingatkan Swettenham bahawa sekiranya British masih membisu dan enggan campur tangan, rakyat Patani tidak ada pilihan lain kecuali terpaksa memberontak menentang Siam dan kalau perlu ia akan berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada kuasa Eropah yang lain.

Inilah buat kali keduanya Raja Patani mengugut untuk memberontak dan bercadang untuk mendapatkan sokongan daripada kuasa asing bagi membebaskan negeri Patani daripada cengkaman Siam. Pada pertengahan tahun 1901, baginda bermesyuarat dengan Raja-Raja Melayu lain untuk mengadakan pemberontakan dalam bulan Oktober, 1901 tetapi atas nasihat Duff dan Swettenham rancangan untuk memberontak itu telah dibatalkan.

Pembatalan rancangan itu dibuat di atas sangkaan bahawa pihak British,melalui jasa baik Swettenham dan Duff, akan membantunya untuk melepaskan Patani dan negeri-negeri di sekitarnya dairpada cengkaman pihak Siam. Tetapi sehingga awal tahun 1902, keadaannya masih belum berubah. Kerajaan British masih lagi tidak bertindak tetapi sebaliknya ‘The Siamese government greatly increased their harshness to my country to my exceding great sorrow.’ Justeru,

Tengku Abdul Kadir terpaksa membuat ugutan seperti itu sekali lagi. Ugutan Tengku Abdul Kadir itu sudah cukup untuk memaksa Swettenham bertindak. Swettenham, telah mengambil kesempatan daripada lawatan Chulalongkorn ke Singapura pada awal Januari, 1902 untuk merundingkan masalah Patani. Beliau menyatakan rasa bimbangnya terhadap pergolakan yang berlaku di negeri-negeri Melayu Patani. Beliau juga memberi amaran bahawa sekiranya pihak Siam tidak bertindak untuk menyelesaikan masalah Raja-Raja Melayu, besar kemungkinan kekacauan akan tercetus ke kawasan itu yang secara tidak langsung akan menjejaskan kepentingan British di sana.

Beliau menegaskan bahawa Raja-raja Melayu di Semenanjung juga akan campur tangan sekiranya berlaku pemberontakan. Untuk menguatkan hujahnya, Swettenham menarik perhatian Chulalongkorn kepada pemberontakan di Aceh dan Pahang. Sungguhpun pihak British dan Belanda mempunyai kekuatan yang cukup untuk memadamkan pemberontakan tersebut tetapi mereka terpaksa membanting tulang untuk mematahkannya. Swettenham menyatakan beliau tidak yakin bahawa pihak Siam mempunyai kemampuan untuk menghadapi tentangan daripada 50,000 orang-orang Melayu. Jikalau tidak atas nasihatnya, raja-raja Melayu Patani sudah tentu akan bangkit memberontak menentang Siam.

Chulalongkorn mengakui tentang keadaan yang genting di Negeri-negeri Melayu Patani itu dan dengan itu beliau memberi persetujuannya untuk bekerjasama dengan pihak British bagi menyelesaikan masalah tersebut. Bagaimanapun beliau menafikan dakwaan Swettenham bahawa kerajaan Siam tidak berusaha untuk mengukuhkan kedudukan atau kekuasaannya di negeri-negeri itu. Beliau juga menolak dakwaan Swettenham bahawa Raja-Raja Melayu akan bangkit memberontak menentang Siam. Menurut beliau pemberontakan hanya akan berlaku sekiranya Raja-raja Melayu itu disokong oleh kuasa-kuasa luar. Bagaimanapun Chulalongkong berterima kasih kepada Swettenham kerana menasihatkan Raja-raja Melayu supaya tidak memberontak serta mengharamkan kemasukan senjata api ke negeri-negeri tersebut. Dalam perbincangan selanjutnya, Swettenham mengemukakan tiga pilihan kepada Chulalongkorn bagi menyelesaikan masalah Negeri-negeri Melayu Patani,iaitu:

1. Siam melepaskan negeri-negeri tersebut dari kawalannya ataupun;

2. Siam melantik pegawai-pegawai British yang berpengalaman untuk mentadbir negeri-negeri itu bagi pihak Siam, ataupun;

3. Siam memberi mandat kepada kerajaan British untuk mendapatkan persetujuan daripada Raja-raja Melayu supaya menyerahkan segala urusan yang berkait dengan hal ehwal luar negeri kepada kerajaan Siam dengan jaminan bahawa kerajaan Siam akan tidak campur tangan dalam halehwal negeri mereka.

Dalam rundingan selanjutnya, iaitu pada 24 Februari 1902, Swettenham sekali lagi menekankan pentingnya kerajaan Siam membenarkan Raja-raja Melayu menguruskan hal-ehwal dalam negeri sebagaimana biasa mereka lakukan dan juga tidak mengenakan sebarang tekanan supaya bahasa Siam dijadikan bahawa rasmi. Beliau juga bersetuju dengan cadangan Siam untuk menghapuskan tradisi penghantaran bunga mas dan perak oleh kerajaan-kerajaan Melayu kepada kerajaan Siam.

Sungguhpun Chulalongkorn menyatakan persetujuannya untuk mempertimbangkan cadangan-cadangan itu, namun pihak berkuasa Siam di Bangkok, khususnya Kementerian Dalam Negeri, nampaknya tidak bersedia untuk membenarkan British campur tangan dalam urusannya. Tindakan Raja-Raja Melayu yang diketuai oleh Tengku Abdul Kadir menolak rancangan tempoh hari telah menimbulkan kemarahan pihak berkuasa di Bangkok. Mereka menganggap tindakan Raja-raja Melayu Patani itu sebagai mencabar kekuasaan Siam ke atas negeri-negeri itu. Mereka juga memandang berat tindakan Raja-raja Melayu khususnya Tengku Abdul Kadir yang menghubungi pihak berkuasa British di Singapura bagi mendapatkan sokongan British untuk melepaskan negeri-negeri itu daripada cengkaman Siam. Siam menyedari bahawa sekiranya mereka membiarkan Raja-raja Melayu bertindak tanpa sebarang sekatan, kemungkinan besar Siam akan kehilangan wilayahnya di Selatan.

Justeru, pada pagi Jumaat 21 Februari 1902, Phya Sri Sahadhed, Timbalan Menteri Dalam Negeri, telah menghantar telegram kepada Tengku Abdul Kadir memberitahu bahawa beliau akan sampai ke Patani pada petang itu.34 Lebih kurang pada pukul 3 petang seorang pegawai Siam telah datang ke istana raja Patani di Cabang Tiga dan meminta baginda datang ke kediaman Timbalan Menteri Siam itu. Sesudah menunaikan fardhu Asar Tengku Abdul Kadir dengan diiringi oleh 20 orang pengiringnya telah berangkat ke kediaman Timbalan Menteri itu yang dikawal rapi oleh 100 orang askar Siam (Straits Times 12 Mac 1902).

Phya Sri meminta Tengku Abdul Kadir masuk ke biliknya. Selepas itu beliau mengeluarkan satu dokumen mengenai peraturan pentadbiran untuk mentadbir Tujuh Wilayah bagi Tahun 1902, membacanya dan kemudiannya meminta Tengku Abdul Kadir menurunkan tandatangan. Tengku Abdul Kadir enggan menurunkan tandatangannya sebelum beliau berunding dengan Menteri Besarnya yang ketika itu berada di Bangkok. Baginda tidak mahu lagi mengulangi kesilapan seperti yang dilakukan oleh beliau pada masa lalu. Phya Sri terus memaksa Tengku Abdul Kadir menurunkan tandatangan dengan memberikan tempoh selama 5 minit. Sekiranya baginda gagal untuk menandatangani dokumen itu, beliau akan memecat baginda dan melantik Kooday atau Raja Pitay, salah seorang anggota majlis negeri Patani yang pro-Siam, sebagai Raja Patani. Perlu diingatkan bahawa Raja Pitay adalah salah seorang pembesar tempatan yang telah menandatangani dokumen yang dikemukakan oleh Phya Sri dalam majlis perjumpaan Raja-Raja Melayu di Nongchik dahulu (Davies 1902, 26).

Bagaimanapun Tengku Abdul Kadir masih enggan mengikut arahan Timbalan Meneri Siam itu. Dengan berbuat demikian bererti bukan saja baginda telah menyerahkan Patani kepada kerajaan Siam tetapi juga membiarkan rakyatnya terus ditindas oleh pihak berkuasa Siam. Akibatnya,Tengku Abdul Kadir telah ditangkap (Straits Times, 12 Mac 1902).

Melihat keadaan ini, pengiring-pengiring baginda cuba membebaskan Tengku Abdul Kadir dari tahanan pihak Siam, tetapi atas nasihat baginda mereka tidak melakukannya. Tengku Abdul Kadir berpendapat tidak ada gunanya membiarkan rakyatnya bertumpah darah kerana telah diketahuinya kekuatan orang-orang Patani pada masa itu terlampau kecil. Tengku Abdul Kadir telah dibawa ke Songkhla untuk ditahan.

Beberapa hari kemudian, Phya Sukhum, Pesuruhjaya Siam, telahmenangkap pula Tengku Samsuddin, Raja Rangae dan Tengku Mutalib, Raja Teluban. Mereka juga telah dibawa ke Songkhla (Tej Bunnag 1977, 153). Selepas dibawa ke Songkhla, Tengku Abdul Kadir dan Raja-raja Melayu lain di bawa ke Pitsanulok. Baginda telah dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun di atas kesalahan ‘mengingkari perintah’ Raja Siam. Pada 6 Mac 1902, Tengku Abdul Kadir dengan rasminya telah dilucutkan jawatannya sebagai Raja Patani (Davies 1902, 27).35 Pihak Siam telah melantik Raja Pitay atau Kooday, anak sepupu baginda, sebagai Pemangku Raja. Davies, seorang wartawan akhbar Singapore Free Press, mengatakan ‘Raja Pitay is an old man of over sixty years of age and was the nephew of the Tengku Besar’. Di dalam pentadbiran baru itu, kerajaan Siam mula melaksanakan reformasi pentadbiran di Patani.

Dengan itu berakhirlah pemerintahan keluarga Tuan Besar di Patani yang telah memerintah negeri itu selama 60 tahun. Tahun masehi 1902 adalah tahun yang malang sekali di dalam sejarah kejatuhan kerajaan Melayu Patani’. Dengan kejatuhan itu, maka ‘terhapus hak pertuanan orang-orang Melayu atas negeri Patani, tergadai semua hak kebebasan dan kemerdekaan mereka kepada Raja Siam’.

No comments:

Post a Comment